BMKuantan

30 Tempat Menarik Di Kuantan Pahang | Senarai Destinasi Terbaik

By November 26, 2020 May 13th, 2021 No Comments

30 Tempat Menarik Di Kuantan Pahang | Senarai Destinasi Terbaik

Published on May 5, 2020 | by maisinggah.com

Daerah Kuantan merupakan ibu negeri bagi Pahang Darul Makmur yang pastinya memiliki kelebihan tersendiri berbanding 10 daerah lain yang terdapat di negeri ini.

Kedudukan daerah Kuantan yang berhampiran dengan Laut China Selatan menjadikan lokasi ini lebih istimewa apabila terdapatnya pantai-pantai yang indah sebagai salah satu daya tarikan perlancongan di negeri Pahang. Oleh itu, tulisan ini akan mengulas 30 tempat menarik di Kuantan, Pahang bagi memudahkan anda merancang percutian ke sana kelak.

30. Pantai Teluk Cempedak

Pantai-Teluk-Cempedak
Sumber: DroneX

Pantai Teluk Cempedak atau lebih dikenali sebagai PTC cukup terkenal di kalangan pengunjung yang berasal dari negeri Pahang sendiri. Pantai Teluk Cempedak cukup sinonim dengan daerah Kuantan dan popularitinya juga setanding dengan infrastruktur yang terbina telah menjadikan lokasi ini sebagai destinasi pilihan pengunjung ketika percutian.

Kemudahan jambatan yang direka khas menyusuri sepanjang pesisir pantai ini, pastinya akan memberi keselesaaan kepada pengunjung yang hadir untuk menikmati keindahan alam di sekitar Pantai Teluk Cempedak.

Selain dapat menikmati kecantikan pantai pengunjung juga berpeluang untuk merasai kedamaian hutan ketika berada di sini kerana terdapat sebuah hutan rekreasi berhampiran yang terpelihara supaya kelestarian alam di pantai tersebut tetap terjamin.

Panorama semula jadi seperti longgokan batuan, kehijauan hutan dan pasir pantai yang memutih ini pastinya akan memberi sudut penggambaran yang cantik. Pantai Teluk Cempedak juga mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti surau, tandas, hotel, restoran, gerai akan memudahkan pengunjung.

Terdapat juga gerai kraf tangan yang menjual cenderamata untuk pengunjung yang ingin membeli hadiah kepada sanak saudara apabila pulang daripada percutian ini ataupun dijadikan sebagai kenang-kenangan. Oleh itu, pengunjung perlu melawat Pantai Teluk Cempedak apabila bercuti ke Kuantan, Pahang.


29. Sungai Cherating

Sungai Cherating
Sumber: The Legend Resort

Lokasi ini menjanjikan tarikan istimewa buat pengunjung yang ingin menikmati ketenangan malam hari dengan menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan.

Sungai Cherating menyimpan anugerah alam apabila terdapat jutaan serangga kecil bercahaya iaitu kelip-kelip menghuni di sekitar pokok Bakau. Pengunjung dapat menghayati suasana indah ini dengan menelusuri Sungai Cherating menggunakan bot sewa yang disediakan oleh pihak pengurusan.

Suasana malam yang hening dilimpahi dengan kelipan cahaya indah melatari suasana malam menjanjikan ketenangan bagi pengunjung yang ingin lari daripada kesibukan kota.

Di samping itu, pengunjung juga boleh datang ke Sungai Cherating pada sebelah siang bagi menerokai kecantikan sungai tersebut. Pengunjung yang meminati aktiviti fotografi perlu menjadikan Sungai Cherating sebagai lokasi wajib untuk dikunjungi.

Keunikan pokok bakau yang menghiasi tebing di sepanjang sungai tersebut menawarkan sudut penggambaran yang cantik kepada penggemar fotografi dan jika bernasib baik pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai spesies reptilia seperti ular yang mendiami di sekitar pokok bakau tersebut.

Oleh itu, pengunjung yang bercuti di Kuantan  jangan lepaskan peluang untuk datang ke lokasi ini bagi memenuhi aktiviti pada waktu siang dan malam.


28. Taman Tasik Bandar Kuantan

Taman Tasik Kuantan
Sumber: Hana Akila

Taman Tasik Bandar yang terletak di Bandar Indera Mahkota ini dikelilingi pokok-pokok menghijau dan tasik pasti akan memikat pengunjung dengan keindahan dan ketenangan.

Kedudukan taman ini yang berdekatan dengan Universiti Islam Antarabangsa pastinya akan memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi ini.

Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan apabila berada di sini seperti berjoging, bermain bola tampar, dan sebagainya. Terdapat juga aktiviti berkayak disediakan kepada pengunjung dengan bayaran semurah RM12 untuk dua orang dan RM8 untuk seorang bagi melakukan aktiviti berkayak di tasik. Aktiviti ini pastinya akan menerujakan pengunjung yang belum pernah atau berpeluang untuk melakukan aktiviti ini.

Di samping itu, pengunjung juga tidak perlu risau akan keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah di sini kerana pihak pengurusan Taman Tasik Bandar sentiasa memastikan keadaan fasiliti berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan pengunjung.

Di samping itu, pengunjung juga disediakan dengan kemudahan kafe atau gerai makan untuk menjamu selera dengan pelbagai juadah makanan.

📍 Alamat
Alamat: Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan

27. Super Top Ikan Bakar Tanjung Lumpur

Super Top Ikan Bakar Kuantan
Sumber: Saiyidah Binti Hamdan

Kepada penggemar masakan ikan bakar lokasi ini juga menarik untuk dikunjungi. Super Top Ikan Bakar yang terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan ini menghidangkan pelbagai menu masakan laut kepada pengunjungnya.

Pengunjung dapat merasai masakan seperti ikan, sotong, udang dan pelbagai lagi yang dimasak dengan cita rasa Melayu dan pastinya tidak akan mengecewakan. Oleh itu, pengunjung perlu datang dan merasai sendiri kehebatan masakan di restoran Super Top Ikan Bakar apabila berada di Kuantan.

📍 Alamat
Alamat: Jalan Tanjung Lumpur, Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan

26. Taman Gelora

Taman Gelora Kuantan
Sumber: Zaini Abdullah

Taman Gelora merupakan sebuah taman rekreasi di tepi pesisir pantai. Taman ini menjadi pilihan dan tumpuan utama pengunjung untuk melakukan aktiviti riadah seperti jogging, bersenam dan aerobik.

Terdapat pelbagai kemudahan yang telah disediakan seperti trek jalan kaki, alatan senaman, pondok rehat, gerai-gerai makanan dan banyak lagi bagi memudahkan pengunjung yang datang beriadah.

Anda bukan sahaja boleh beriadah di taman ini tetapi juga boleh melakukan aktiviti mandi-manda di pantai berhampiran dengan keindahan dan kebersihan yang dijaga pasti akan memberi keselesaan kepada pengunjung ketika berada di sini.

Selain itu, pengunjung juga dapat merasai kemeriahan pasar malam jika melawat lokasi ini pada hujung minggu kerana setiap hari Ahad jam 4 petang sehingga jam 9 malam terdapat pasar malam berhampiran taman ini diadakan.

📍 Alamat
Alamat: Jalan Dato Abdullah, Kampung Tanjung Api, 25050 Kuantan

25. Mini Zoo Teruntum

Mini Zoo Taman Teruntum
Sumber: DinoHauz

Mini Zoo Teruntum merupakan salah satu tempat menarik yang boleh lawati bersama anak-anak dan keluarga. Kawasan mini zoo ini mempunyai landskap yang menarik dan amat sesuai untuk aktiviti beriadah sambil melihat haiwan yang dipamerkan.

Zoo mini ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung dan di sini juga terdapat pelbagai haiwan yang ditempatkan di sangkar seperti burung unta, kancil, burung, buaya, arnab, burung merak, landak, seladang, pelanduk, ular, orang utan dan juga kura-kura gergasi pasti memikat hati pengunjung.

Selain itu, kemudahan asas seperti tandas, tempat letak kereta dan sebagainya juga disediakan bagi keselesaan pengunjung.

Pengunjung juga tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan kerana bahagian bawah atau luar zoo mini ini terdapat gerai-gerai makanan untuk menjamu selera. Justeru, percutian pasti akan lebih menggembirakan apabila pengunjung yang datang bercuti bersama anak-anak melawati lokasi ini.

📍 Alamat
Alamat: Jalan Padang Golf, 25050 Kuantan

24. Air Terjun Sungai Pandan

Air Terjun Sungai Pandan
Sumber: Ahmad Deniel Zainuddin

Air terjun yang sejuk dan damai sangat sesuai kepada pengunjung yang ingin beriadah sambil menenangkan fikiran. Air terjun Sungai Pandan merupakan air terjun yang terkenal di kalangan penduduk Kuantan dan pengunjung dari luar.

Air terjun yang terletak di Felda Sungai Pancing Selatan Pahang merupakan destinasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti berkelah, bermain air dan perkhemahan. Jarak antara Air Terjun Sungai Pandan dengan bandar Kuantan kira-kira 25 kilometer ini pastinya akan memudahkan pengunjung untuk sampai ke lokasi ini.

Terdapat juga pelbagai kemudahan telah disediakan seperti tempat letak kereta, surau, tandas, pondok berehat, gerai makanan, kolam mandi kanak-kanak, padang dan banyak lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh bersiar-siar di sekitar jungle trails dengan melihat pemandangan di sekitar air terjun yang dihiasi dengan pokok-pokok besar seperti meranti, keruing dan damar serta turut terdapat pelbagai spesies bunga.

Air terjun ini sering menjadi pilihan utama pengunjung ketika cuti hujung minggu dan sekolah kerana air dan kawasan sekitarnya yang terpelihara kebersihan serta keselamatan juga terjamin.

⌚ Waktu Operasi
Waktu operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 5.00pm)

23. Natural Batik Village

Natural Batik Village
Sumber: Natural Batik Village

Natural Batik Village yang terletak berdekatan dengan Pantai Balok pasti memberi kegembiraan kepada pengunjung yang kali pertama merasai pengalaman mencanting batik.

Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual cendera hati berasaskan lukisan corak batik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Pusat batik ini sering menjadi lokasi tumpuan ramai pengunjung kerana suasana kedainya yang mesra pelanggan dan produk yang dihasilkan amat berkualiti.

Natural Batik Village ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mencanting batik mengikut cita rasa dan kreativiti sendiri namun perkhidmatan ini akan dikenakan sedikat bayaran.

Hasil batik yang telah siap boleh dibawa pulang sebagai cenderamata oleh pengunjung. Justeru, pengunjung yang melawat ke lokasi ini akan melihat sendiri penghasilan batik dari mula sehingga terhasilnya sehelai batik, menjadikanya suatu pengalaman yang berharga. Oleh itu, pengujung yang meminati seni warisan penghasilan batik jangan lepaskan peluang untuk ke Natural Batik Village.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kampung Cengal Lempung, 26100 Balok

22. Bukit Panorama Sungai Lembing

Bukit Panorama Sungai Lembing
Sumber: Koleksi Viral

Bukit Panorama yang terletak tidak jauh dari pekan Sungai Lembing ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai dan melihat sendiri pemandangan indah matahari terbit.

Dengan ketinggian 271 meter pengunjung dapat melihat seluruh kawasan kampung Sungai Lembing yang diselubungi gumpalan kabus dan pastinya memberi pemandangan yang sangat menarik. Suasana nyaman di punjak membuat anda rasa sama seperti anda sedang bercuti ke Cameron Highland.

Anda perlu melakukan pendakian sebelum terbitnya matahari dengan melalui tangga dan denai yang telah disediakan terlebih dahulu sebelum sampai ke kemuncak bukit. Namun pengunjung tidak perlu risau kerana tangga yang disediakan bersimen dan terdapat tempat pemegang bagi memudahkan aktiviti pendakian.

Anda juga digesa untuk membawa lampu suluh kerana suasana masih gelap semasa pendakian dilakukan. Oleh itu, pengunjung yang meminati aktiviti lasak dan mencabar sangat dialu-alukan untuk ke sini di samping dapat melihat pemandangan indah gumpalan awan dan matahari terbit umpama sebuah lukisan yang sangat menakjubkan.


21. Muzium Sungai Lembing

Museum Sungai Lembing
Sumber: jmm.gov.my

Muzium Sungai Lembing dibina untuk menyimpan khazanah bernilai negara berkaitan dengan industri perlombongan bijih timah. Lokasi muzium ini merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah yang paling dalam dan antara yang terbesar di dunia pada satu ketika dahulu.

Tempat bersejarah ini telah diuruskan oleh Jabatan Muzium dan telah dibuka untuk kunjungan para pelancong bagi memperkenalkan peralatan melombong bijih timah dan pakaian yang digunakan oleh pekerja lombong dahulu.

Di samping itu, reka bentuk muzium berserta perabot dan hiasan dalamannya dibina berilhamkan zaman kolonial atau era penjajahan Inggeris dahulu. Dengan keluasan 5.51 hektar, muzium ini turut mempunyai terowong atau lombong bawah tanah akan tetapi ia tidak dibuka kepada pengunjung biasa disebabkan faktor keselamatan.

Kepada pengunjung yang berminat untuk melihat dan mengetahui lebih mendalam tentang sejarah perlombongan bijih timah negara kita bolehlah berkunjung ke Muzium Sungai Lembing ini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Muzium, Sungai Lembing, 26200 Sungai Lembing

20. Pantai Batu Hitam

Pantai Batu Hitam
Sumber: Xin A Day

Pantai Batu Hitam sangat popular di kalangan penduduk setempat dan pengunjung kerana terdapat batuan berwarna hitam yang membezakannya pantai ini dengan lokasi yang lain di sekitar Kuantan, Pahang. Keunikan ini telah menjadikan Pantai Batu Hitam sebagai tempat yang diminati pengunjung.

Batu-batuan berwarna hitam yang melatari pasir putih menjadikan pantai ini sangat unik dan sering menjadi tumpuan lensa kamera bagi penggemar seni fotografi. Justeru,  pengunjung yang menggemari aktiviti fotografi jangan lepaskan peluang untuk datang ke sini dan merakam panorama indah ciptaan Tuhan.

Lokasi Pantai Batu Hitam yang hanya terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuantan pasti menjadi pilihan pengunjung untuk beriadah bersama keluarga ketika cuti hujung minggu.

Terdapat juga pelbagai kemudahan asas yang disediakan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti seperti mandi laut dan berkelah. Selain itu, pengunjung juga tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan kerana terdapat banyak gerai makanan di Pantai Batu Hitam yang menyediakan beraneka juadah setempat.


19. Petrosains Play Smart Kuantan

Petrosains Play Smart Kuantan
Sumber: aniszcenna

Sebuah lagi lokasi menarik yang perlu dikunjungi iaitu Petrosains Smart Kuantan pastinya akan memberi keceriaan kepada anak-anak semasa bercuti. Kanak-kanak akan terhibur dengan permainan yang tersedia di Petrosains Smart seperti trek kereta, ruang main bola, pertandingan mewarna, pertandingan menampal, dan banyak lagi.

Pusat sains mini ini memberi peluang kepada pengunjung cilik untuk menerokai dunia sains yang hebat melalui pembelajaran yang sangat menyeronokkan tanpa membuat mereka merasa terbeban atau bosan.

Selain itu, kanak-kanak akan menimba ilmu baru berkaitan dunia sains berkaitan dengan kehidupan mereka. Justeru, pengunjung tidak perlu melepaskan peluang untuk datang bersama anak-anak kerana masuk ke Petrosains Smart Kuantan ini adalah percuma dan tempat ini telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk kanak-kanak.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Petrosains Playsmart Kuantan, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan

18. Gambang Water Park

Gambang Water Park
Sumber: Gambang Water Park Resort

Gambang Water Park merupakan taman tema yang paling menarik di Kuantan yang terletak hanya 40 kilometer dari pusat bandar dan ia bakal menjanjikan keseronokan yang terbaik untuk pengunjung. Gambang Resort City mempunyai kawasan yang agak luas dan mempunyai dua taman tema utama iaitu Gambang Water Park dan Safari Park.

Taman tema air ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Coco Beach, Wave Pool dan Lagoon. Di setiap bahagian tersebut terdapat pelbagai aktiviti yang pengunjung boleh lakukan seperti Aqua Play, Giant Piranha, Tree Top Hill, Lane Racer, Canopy Slide, Family Raft Ride, ATV Ride dan banyak lagi.

Di Safari Park pula merupakan taman safari untuk melihat haiwan yang berkeluasan 138 ekar. Sememangnya tidak rugi jika bercuti sambil berseronok di Gambang Water Park ini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Bukit Gambang Resort City, 26300 Gambang

17. Pantai Sepat

Pantai Sepat Kuantan
Sumber: Kurus Kembong

Pantai Sepat lebih dikenali dengan nama Tanjung Sepat oleh penduduk sekitarnya merupakan perkampungan Melayu nelayan popular di Kuantan.

Pantai ini terletak lebih kurang 10 kilometer dari bandar Kuantan dan selatan bandar Pekan pasti memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berada di perkampungan nelayan.

Keindahan panorama yang dihiasi pokok-pokok pastinya sesuai untuk melakukan aktiviti fotografi. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti seperti bermain layang-layang, memancing dan menjala ikan ketika berada di Pantai Sepat. Lokasi ini turut menawarkan perkhidmatan menunggang kuda kepada pengunjung yang ingin bersiar-siar di tepi pantai.


16. East Coast Mall Kuantan

East Coast Mall Kuantan
Sumber: reitsweek.com

East Coast Mall (ECM) merupakan sebuah kompleks membeli belah yang terkenal yang baru dibina di bandar Kuantan. Kompleks membeli belah ini pastinya akan menjadi syurga buat penggemar atau ‘kaki shopping’.

Terdapat banyak kedai berjenama, wayang, pusat karaoke dan bowling disediakan di sini. Selain membeli-belah terdapat banyak cafe dan kedai makan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dalam dan luar negara boleh lawati. Di sekitar ECM ini juga terdapat banyak lot kedai dua tingkat untuk anda membeli-belah sambil bersiar-siar.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: East Coast Mall, Jalan Putra Square 6, Putra Square, 25200 Kuantan

15. ANA Ikan Bakar Petai

ANA Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur
Sumber: ANA Ikan Bakar

ANA Ikan Bakar Petai mendengar namanya sahaja sudah cukup istimewa dan berbeza. Jika berkunjung ke Kuantan tidak sah jika tidak mencuba kenikmatan hidangan utama yang popular di sini iaitu ikan bakar petai.

Restoran ini juga turut menyajikan santapan berasaskan makanan laut dan masakan ala Thai yang pastinya menjadi pilihan pengunjung. Di samping itu, lokasi ini cukup dikenali oleh pengunjung tempatan disebabkan juadah istimewanya yang menepati cita rasa dan juga sukar untuk didapati selain daripada berkunjung ke restoran ANA Ikan Bakar Petai.

Selain daripada makanan lazat, harganya juga berpatutan dan keselesaan pengunjung turut terjamin apabila berada di restoran ini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kampung Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan

14. Pantai Balok

Pantai Balok
Sumber: Balok Windsurfing

Pantai Balok merupakan salah satu lokasi menarik yang terdapat di Kuantan, Pahang. Terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar, pasti akan memudahkan pengunjung untuk sampai ke lokasi ini.

Pantai Balok yang diketahui umun mempunyai pemandangan indah akan menimbulkan rasa keterujaan di kalangan pengunjung. Walaupun lokasi ini bukan merupakan pantai peranginan tetapi ia cukup dikenali dengan aktiviti windsurfing.

Pertandingan windsurfing juga sering diadakan di Pantai Balok disebabkan faktor angin dan arus pantainya yang sangat sesuai untuk aktiviti ini. Di samping itu, Pantai Balok juga merupakan lokasi menarik kepada pengunjung yang meminati aktiviti perkhemahan.

Kemudahan tapak perkhemahan disediakan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan ini turut mempunyai ciri keselamatan apabila lokasinya sentiasa dikawal selia oleh pihak pengurusan pantai bagi menggelakkan sebarang bahaya.

Selain, menjadi lokasi tarikan penggemar aktiviti windsurfing, pantai ini turut menawarkan kemudahan gerai makanan yang menyediakan pelbagai sajian berasaskan makanan laut.

Di samping itu, pengunjung juga tidak perlu risau dengan tempat penginapan kerana Pantai Balok ini juga berdekatan dengan hotel dan resort yang pastinya memberikan keselesaan. Oleh itu, pengunjung tidak perlu melepaskan peluang untuk datang ke Pantai Balok kerana lokasi ini menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung dengan pantai lain di sekitar Kuantan, Pahang.


13. Jaman Tory Resepi

Jaman Tory Resepi
Sumber: Jaman Rory Resepi

Jaman Tory Resepi menampilkan keunikan masakan setanding dengan nama restorannya. Kepada pelancong yang ingin berkunjung ke Kuantan restoran ini wajib untuk dikunjungi kerana keistimewaan masakannya sangat berbeza berbanding dengan restoran-restoran yang lain terdapat di sekitar daerah Kuantan.

Jaman Tory atau lebih mudah difahami sebagai “zaman tori” merupakan pengenalan yang merujuk kepada zaman dahulu dan pastinya masakkan yang dihidangkan di restoran ini merupakan makanan masyarakat tradisional. Oleh itu, kepada pengunjung yang menggemari masakan tradisional boleh singgah ke restoran ini yang terletak di bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Masakan seperti ikan patin bakar tempoyak, daging salai, ulam-ulaman, ayam kampung, masakan tradisi negeri Pahang dan banyak lagi yang boleh dirasai apabila berkunjung ke restoran ini. Di samping itu, pengunjung tidak perlu risau dengan keselesaan ketika berada di restoran ini kerana kemudahan dan kebersihan amat dititik beratkan oleh pemiliknya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan

12. Pantai Pelindung

Pantai Pelindung Kuantan Pahang
Sumber: Azhal Aan

Pantai Pelindung adalah sebuah kawasan pantai yang agak tenang, jauh dari pandangan dan pengetahuan pelancong yang datang ke Kuantan, tapi bagi yang dah tahu, memang beruntung! Kerana anda telah menemui sebuah tarikan ciptaan tuhan yang dapat dinikmati keindahannya dalam keadaan penuh privasi.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah berkelah sambil menikmati bayu laut yang menenangkan jiwa atau melihat suasana nelayan turun daripada bot selepas berhempas pulas di lautan. Nak bermandi-manda pun tiada masalah kerana kawasannya yang landai menjadikan ianya selamat untuk anda sekeluarga berseronok bermain air.

Dalam masa yang sama, walaupun tidak begitu terkenal seperti kawasan pantai yang lain,  Pantai Pelindung tetap lengkap dengan banyak kemudahan asas untuk para pengunjung seperti surau, tandas, kedai yang menjual barangan keperluan dan warung-warung makan.

Tertanya-tanya kenapa nama pantai ni Pantai Pelindung? Ada yang mengatakan yang pantai ini dinamakan sebagai Pantai Pelindung kerana pada suatu ketika dulu ketika zaman penjajahan tentera Jepun, Pelindung pernah menjadi kawasan orang ramai mendapatkan perlindungan.

📍 Alamat
Alamat: Pantai Pelindung, 25000 Kuantan, Pahang

11. Gua Charas

Gua Charas Kuantan Pahang
Sumber: Daryl Mah

Gua Charas terletak di Bukit Charas yang merupakan sebuah bukit batu kapur dan granit yang telah berusia mencecah 400 juta tahun. Puncak yang tertinggi bukit tua ini adalah sehingga 355 meter. Dikelilingi oleh ladang kelapa sawit, anda perlu mendaki naik untuk menuju ke laluan masuk ke gua yang terdapat di sini.

Apa yang istimewanya tentang Gua Charas ni? Kalau anda nak tahu, di dalam gua ini terdapat patung Buddha dalam kedudukan berbaring yang boleh anda temui sekiranya berjalan sehingga ke hujung gua.

Sepanjang perjalanan dalam gua untuk menuju ke kawasan patung ini, anda perlu berjalan sambil ditemani oleh limpahan cahaya yang disediakan sambil melihat pembentukan batu kapur. Sesetengah bahagian lantai gua  ini agak basah kerana titisan air. Nak teroka gua ini? Pakailah pakaian kasut dan pakaian yang sesuai ya?

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Gua Charas, 26090 Kuantan, Pahang

10. Kuantan City Mall

Kuantan City Mall
Sumber: Sofar.studio

Ada bajet lebih nak bershopping lepas puas berjalan-jalan di sekitar Kuantan? Mai singgah ke Kuantan City Mall yang merupakan pusat membeli-belah yang paling baru di Kuantan. Antara store yang terdapat di sini adalah Padini, Kaison, Sports Direct dan lain-lain lagi.

Nak mengisi perut yang kelaparan atau menghilangkan dahaga? Boleh cuba bermacam kedai yang ditawarkan seperti Mi Tarik, Coffee Beans dan banyak lagi yang terdapat di tingkat bawah. Nak menonton wayang? Panggung wayang MBO terletak di tingkat 4 Kuantan City Mall.

Lokasinya, hanyalah bersebelahan dengan East Coast Mall Kuantan dan tidak begitu jauh dari Berjaya Megamall. Pendek kata, pusat-pusat membeli-belah di sekitar Kuantan ni agak dekat antara satu sama lain, kalau tak puas lagi, anda boleh menggerakkan kaki ke mall lain.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 6/1, Putra Square, 25300 Kuantan, Pahang

9. Santuari Penyu Cherating

Turtle Sanctuary Cherating
Sumber: Siti Norazlizayanti

Mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Jun 1998, Santuari Penyu Cherating ditubuhkan dengan tujuan untuk melindungi penyu daripada sebarang bahaya yang dapat memendekkan jangka hayat mereka.

Anda juga boleh datang ke Santuari Penyu Cherating untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan penyu dan mengetahui cara yang boleh dilakukan untuk memberi pelindungan kepada haiwan yang kian terancam ini.

Selain itu, para pengunjung juga dapat melawat tapak penetasan telur penyu, melakukan aktiviti pelepasan anak-anak penyu, melawat pameran dan menonton tayangan video serta menyertai program memerhatikan penyu pada waktu malam.

Sebuah pengalaman yang pasti dapat memberikan keseronokan kepada anak-anak sambil mendapat pengisian yang bermanfaat berkaitan kepentingan memelihara spesies yang diancam kepupusan.

Lokasinya, hanyalah bersebelahan dengan Club Med Asia di Cherating.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Pusat Penerangan Dan Santuari Penyu, KM 45 Jalan Kuantan-Kemaman, 26080 Kuantan Pahang

8. Kuantan River Tours

Kuantan River Tours
Sumber: Kuantan River Tours

Ingin melihat Kuantan dari sudut yang berbeza selepas puas makan angin di sekitar bandar? Salah satu aktiviti yang wajib anda buat adalah mengikuti Kuantan River Tours.

Sepanjang perjalanan menyelusuri sungai Kuantan ini anda dapat melihat pemandangan bangunan-bangunan tinggi dan juga kawasan perkampungan nelayan dari sungai, pemandangan ini disempurnakan lagi dengan pantulan bayang-bayang yang terbentuk pada permukaan air, jangan lupa untuk membawa kamera ya?

Anda juga akan dibawa ke kawasan paya bakau di mana bot akan diberhentikan untuk memberi peluang kepada anda untuk berjalan di sepanjang laluan kayu yang disediakan dan melihat keindahan flora dan fauna yang ditawarkannya.

Apa pengalaman yang ingin anda tempuhi? Anda sekeluarga boleh membuat pilihan berdasarkan pakej yang ditawarkan seperti River Mouth Tour, Mangrove Park Tour, Kuantan River Discovery Tour, Kuantan River Night Tour dan Special Kuantan River Discovery Tour.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jeti Shahbandar, Kuantan 25100

7. Berjaya Megamall

Berjaya Megamall Kuantan
Sumber: Chongkian

Berjaya Megamall adalah sebuah pusat membeli-belah yang luas di Kuantan yang pernah menjadi tumpuan ramai penduduk di sekitar sebelum kehadiran East Coast Mall dan Kuantan City Mall untuk membeli-belah dan menonton filem-filem terbaru di panggung wayang.

Antara kedai-kedai yang terdapat di sini adalah seperti kedai jualan pakaian wanita seperti tudung, baju-baju raya, baju muslimah, dan bermacam-macam lagi dengan pelbagai pilihan yang dapat merambangkan mata.

Lokasinya, hanyalah bersebelahan dengan Hotel Grand Darul Makmur.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Berjaya Megamall, Jalan Tun Ismail, Sri Dagangan, Kuantan

6. Muzium Seni Pahang

Muzium Seni Pahang Kuantan
Sumber: Wan Noorzuliana Wan Hussin

Terletak tidak jauh dari Masjid Sultan Ahmad Shah 1 dan berhadapan dengan mahkamah Syariah, Muzium Seni Pahang adalah sebuah destinasi yang wajib dilawati untuk para pencinta seni untuk melihat pelbagai koleksi menarik yang dipamerkan sama ada seni catan, foto atau arca.

Koleksi-koleksi yang terdapat di sini antaranya adalah hasil karya daripada karyawan seperti Sivarajah Natarajan, Roslan Ahmad, Sunan Sugio, C Tuck Lee, Sharifah Kirana dan Mohamad Nor.

Bahan pameran yang terdapat di sini sering ditukar mengikut tema yang tertentu iaitu sama ada batik, merdeka, seni reka atau sebagainya. Muzium yang cukup menarik untuk dilawati lebih-lebih lagi kerana kemasukan ke dalam muzium ini juga adalah percuma.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Pahang Art Museum, Jalan Masjid, 25000 Kuantan, Pahang.

5. Pasar Nelayan Balok

Pasar Nelayan Balok
Sumber: محمد ساز أول الدين

Nak makan hasil laut yang betul-betul segar semasa bercuti di Kuantan? Datanglah ‘bershopping’ di Pasar Nelayan Balok.

Hasil laut yang diniagakan di sini teramatlah segar kerana ianya diniagakan oleh para nelayan sendiri. Bayangkanlah, keluar sahaja dari laut, terus dijual di pasar ini, mana tak fresh kan?

Antara hasil laut yang terdapat di sini adalah udang, ikan, ketam, sotong dan bermacam-macam lagi. Dah jumpa yang diingini, anda boleh singgah ke restoran yang terletak berdekatan untuk mereka masakkan dengan resepi yang anda terbayangkan-bayangkan di minda.

Sekiranya anda ke sini, waktu terbaik adalah selepas sekitar 12 tengahari untuk mendapatkan lebih banyak pilihan.

📍 Alamat
Alamat: Kampung Balok, 26080 Balok, Pahang

4. Muara Sungai Balok

Muara Sungai Balok Kuantan Pahang
Sumber: Saputrasius

Bila perut dah kenyang dengan makanan laut segar dari Pasar Sungai Balok, anda boleh bergerak menuju ke Muara Sungai Balok untuk melengkapkan lagi pengalaman anda di sekitar kawasan ini.

Tiada yang lebih memuaskan jiwa daripada dapat melihat pemandangan yang indah selepas menikmati makanan yang segar.

Dari kawasan sungai ini anda dapat melihat pemandangan yag mengujakan suasana nelayan bersama bot mereka dengan latar belakang sungai yang mengalir tenang. Pemandangan ini disempurnakan lagi dengan kehadiran pokok-pokok rhu yang menghiasi sekitar sungai.

📍 Alamat
Alamat: Kampung Balok, 26080 Balok, Pahang

3. Taman Esplanade Kuantan

taman esplanade kuantan
Sumber: Zunaida Ahmad

Nikmati pemandangan yang menyegarkan dengan meluangkan masa di Taman Esplanade Kuantan. Setelah puas makan angin di sepanjang laluan berjalan kaki yang berkepanjangan 2 km ini anda boleh meneruskan aktiviti di sini dengan memancing, bergambar dengan signboard bersaiz gergasi ‘Kuantan’ atau mengisi perut yang lapar di kedai-kedai makan yang terdapat di sini.

Tak puas lagi makan angin di sini? Esok pagi bolehlah datang berjogging untuk menghirup udara segar yang ditawarkannya.

📍 Alamat
Alamat: Jalan Tanah Putih, 25100 Kuantan, Pahang

2. Pantai Cherating

Pantai Cherating
Sumber: Zunaidi Hussin

Pantai Cherating terletak di sempadan negeri Pahang dan Terengganu merupakan satu lagi lokasi menarik yang boleh dilawati ketika bercuti di daerah Kuantan.

Pantai Cherating merupakan destinasi pelancongan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi percutian keluarga. Terdapat banyak hotel dan resort yang menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pengunjung dan pastinya memberi keselesaaan ketika percutian di Kuantan.

Pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti pantai yang disediakan oleh pihak pengurusan seperti sukan pantai, luncur air, banana boat, memancing, berkayak dan banyak lagi.

Pengunjung yang berada di Pantai Cherating ini juga boleh merancang untuk melawat ke negeri Terengganu kerana lokasinya yang hampir dengan negeri tersebut membolehkan pengunjung melakukan beberapa aktiviti menarik di sekitar Kemaman.

Aktiviti tersebut seperti melihat kelip-kelip, Trip Snorkeling ke Pulau Ular, ATV Ride, Cherating Mangrove River Cruise, mencanting batik di Limbong Art dan banyak lagi. Oleh itu, percutian ke Pantai Cherating semestinya tidak akan menghampakan pengunjung dan pastinya akan merakam kenangan indah bersama keluarga.


1. Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan

Masjid Sultan Ahmad Shah Kuantan
Sumber: Visit Pahang

Masjid Sultan Ahmad Shah yang tersergam indah di tengah-tengah Bandar Kuantan ini telah direka dengan batu marmar khas yang bersinar cantik apabila terkena pantulan cahaya matahari dan pasti akan memukau pandangan mata uang melihatnya.

Masjid ini merupakan salah satu masjid negeri yang terletak di tengah pusat bandar berhampiran dengan padang Majlis Perbandaran Kuantan. Keluasan masjid Sultan Ahmad Shah ini mampu menampung kira-kira 10,000 orang jemaah dalam satu-satu masa, menjadikan masjid ini yang terbesar di negeri Pahang. Di samping itu, menara masjid ini yang berukuran 180 kaki menjadikan ianya antara masjid yang terkenal di negeri Pahang.

Diketahui bahawa, nama masjid ini diambil bersempena nama pemerintah Pahang yang pertama iaitu Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah.

Reka bentuk dalaman dan hiasan masjid yang bercirikan seni bina zaman Uthmaniah ini menjadikannya sebuah masjid yang sangat indah dan menarik dengan seni ukiran khat di sekitar dinding masjid telah menambahkan lagi keistimewaannya.

Pada bulan Ramadan pula, masjid ini bertambah meriah kerana padang MPK bersebelahan dengannya akan menjadi tumpuan seluruh pengunjung untuk berbuka puasa secara beramai-ramai.